Taman Rakyat Klang terletak di Jalan Tun Dr. Ismail di Taman Sri Andalas. Antara tarikan yang terdapat di taman ini adalah seperti tapak refleksologi, denai hutan, trek jogging, pondok pandang jauh, peralatan permainan kanak - kanak, miniature golf, tapak perkhemahan, tempat senaman dan kawasan lapang. Selain itu terdapat juga restoran, surau dan tandas awam disediakan di taman ini bagi memudahkan para pengunjung untuk melakukan pelbagai aktiviti terutamanya aktiviti kekeluargaan.(Sumber: Portal Rasmi Pejabat Daerah/Tanah Klang)

                                                       

   

   Gedung Raja Abdullah telah mendapat namanya daripada Raja Abdullah Ibni Almarhum Raja Jaafar, Orang Besar Klang yang merupakan wakil Sultan bagi urusan perdagangan biji timah di Lembah Klang. Gedung ini telah digunakan sebagai tempat menyimpan timah, senjata dan bekalan makanan. Dibina pada tahun 1856, gedung ini terpahat sebagai sebuah binaan bersejarah. Ia juga pernah menjadi kubu pertahanan pada tahun 1866, yang telah digunakan oleh pengikut Raja Mahadi semasa Perang Saudara di Selangor.

   Di era penjajahan pihak British pula, gedung ini telah dijadikan bangunan kerajaan pada tahun 1874 dan di sinilah Majlis Mesyuarat Selangor yang pertama telah diadakan. Pada tahun 1880, bangunan ini sekali lagi menukar peranannya kepada Balai Polis Daerah sehinggalah tahun 1974. Kini Gedung Raja Abullah sedang ditutup buat sementara waktu sehingga kerja - kerja konservasi ke atas binaan yang bercirikan sinibina Anglo - Indian abad ke - 19 ini selesai disempurnakan oleh Jabatan Warisan Negara.(Sumber : Portal Rasmi PDT Klang)

     

 MASJID DIRAJA SULTAN SULEIMAN

 Masjid Diraja Sultan Suleiman telah dibina pada tahun 1932, sempena pengisytiharan Klang sebagai pusat pentadbiran negeri Selangor. Ia adalah satu pemberian dari kerajaan British kepada Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah, Sultan Selangor yang ke-5. Perasmian masjid ini telah di sempurnakan oleh baginda Sultan pada tahun 1934 dan dikenali dengan nama Masjid Suleiman Jamiur Rahmah.

   Masjid ini pernah dijadikan masjid negeri Selangor sehinggalah terbinanya Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam. Sekarang ia dimasyhurkan sebagai Masjid Diraja Sultan Suleiman, Klang.

   Masjid ini terletak bersebelahan dengan dengan Istana Negeri Selangor, Istana Alam Shah dan Kolej Islam Sultan Alam Shah, yang dahulunya termasuk dalam perkarangan istana. Didalam masjid ini juga terdapat satu daripada 3 makam diraja Selangor iaitu Makam Diraja Klang.(Sumber : Wikipedia )